Pengaruh Ramayana Ramayana

Tidak ada karya lain yang telah mempengaruhi segala aspek kehidupan penduduk India seperti Ramayana. Swami Vivekananda menjelaskan pengaruh mahakarya ini terhadap masyarakat Hindu seperti begini:

"Rama ialah idola purba dari zaman kepahlawanan, jelmaan kebenaran dan moral, anak yang ideal, suami yang ideal, bapa yang ideal, dan terutamanya, raja yang ideal. Valmiki, telah memperkenalkan Rama ini kepada kita. Tidak ada bahasa yang lebih tulen, lebih suci, atau lebih indah, dan pada masa yang sama lebih ringkas daripada bahasa yang digunakan oleh penyair agung itu (Valmiki) yang menceritakan kisah hidup Rama

"Apakah yang hendak diperkatakan tentang Sita? Kamu boleh mencari dalam semua kesusasteraan dunia pada masa lampau, dan saya boleh memberi kepastian, kamu juga perlu menghabiskan semua kesusasteraan dunia pada masa akan datang, sebelum kamu boleh bertemu dengan seorang Sita yang lain. Sita adalah unik. Watak itu telah dipaparkan dengan sepenuhnya. Mungkin terdapat beberapa orang Rama. Tetapi, tidak pernah ada lebih daripada seorang Sita! Dia adalah wanita India sejati kerana semua idea-idea tentang seorang wanita yang sempurna telah lahir daripada kehidupan Sita. Selama beribu-ribu tahun, Sita masih menjadi pujaan setiap lelaki, perempuan, dan kanak-kanak di seluruh bumi Aryavarta (India). Sita yang menakjubkan akan ada selama-lamanya. Sita adalah jelmaan kesucian, kesabaran, dan kesengsaraan. Dia mengharungi kehidupan yang penuh penderitaan tanpa sedikit pun rungutan. Dialah isteri yang tetap suci, tetap tulen, idola masyarakat, dan idola dewa-dewi. Sita yang hebat akan sentiasa kekal sebagai Tuhan kebangsaan kita. Tidak perlu untuk penjelasan panjang kerana kita semua mengenalinya dengan amat baik

"Semua mitos kita mungkin akan lenyap, kemungkinan Veda juga akan hilang, dan bahasa Sanskrit kita mungkin akan hilang selama-lamanya. Namun, selagi lima orang Hindu masih berada di sini, yang mungkin bercakap dalam bahasa kasar sahaja, kisah Sita akan ada. Tengoklah! Sita telah menjadi asas bangsa kita. Dia berada dalam darah setiap lelaki dan perempuan Hindu. Kita ialah anak Sita."[4][5]